Pergi Bersama Pahala Koci

Sejak malam semalam membawa sehingga pagi ini, ada sekelumit kehibaan dalam hati saya.  Semasa menunggu di airport untuk menjemput isteri pulang dari out station, group whatsapp residen saya ada menaikkan status makluman, seorang insan di kejiranan sebelah taman kami telah meninggal dunia.

Masing-masing tertanya-tanya siapakah beliau yang telah arwah tersebut. Ada yang menyatakan nama penuh, ada yang memberikan nama timangan panggilan biasa dan ada yang memberikan gambaran sebagai makcik yang pandai buat kuih koci.

Bila saya terbaca tentang penerangan berkaitan makcik yang pandai buat kuih koci, saya seakan terperasan. Ehh…ini makcik yang selalu isteri saya tempah kuih koci pada setiap majlis kenduri yang keluarga kami anjurkan ke? Ini mak Izatul ke? (Izatul adakah kawan anak sulong saya. Beliau semasa di SMK Subest dahulu sama tingkatan dengan anak saya, dan hampir setiap hari datang belajar bersama anak saya dirumah). Eh, ini makcik yang setiap kali sebelum raya tetap akan datang hantar kuih bangkit yang beliau buat ke?

Jika benarlah makcik ini, hilanglah satu dari sumber pahala saya. Kerana, sepanjang saya mengenali anaknya, saya sentiasa akan minta isteri dan anak-anak memberikan sedikit sumbangan pada setiap kali terserempak dengan makcik ini. Biarpun bukan orang senang, beliau  sentiasa menolak pemberian dari kami sehingga kami perlu memaksa untuk beliau terima.  Inilah kebaikan budi dan akhlak tinggi yang sering saya minta anak-anak saya tauladani.

Dan apa yang bermain di kepala saya sekarang ini adalah, seseorang itu tidak semestinya mempunyai sesuatu yang besar semasa hayatnya untuk di ingati kelak selepas pemergiannya. Tidak perlu menjadi sepopular Allahyarham seniman Sudirman untuk terus diingati, walau sekecil kuih koci jasa yang ditinggalkan, orang tetap akan mengingati kita asalkan usaha kita itu ada manfaat kepada orang lain biarpun kecil.

Semoga makcik kuih koci saya tenang disana, diampuni segala dosa-dosa semasa didunia, dirahmati serta ditempatkan bersama golongan-golongan mukminin.

 

Mesej dari anaknya pagi ini.. Bertabahlah Izzatul..

Food Technologist yang terlibat dalam industri FMCG terutamanya berkaitan jualan, pemasaran, penjenamaan dan pengiklanan lebih 25 tahun. Kini aktif sebagai perunding Branding, Pengiklanan dan Pemasaran serta Penyedia Latihan .    Keledek Lensa kendaliannya juga banyak membantu peniaga-peniaga membuat photoshoot produk yang profesional untuk sebarang tujuan iklan .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *